Jun 21, 2010

Ketawa Jauhkan Penyakit Jantung





SENYUMAN dan ketawa antara senaman yang baik kerana ia melibatkan pergerakan diafragma, abdomen, sistem pernafasan, wajah, kaki dan otot belakang badan.
Ketawa mengurut organ dalam abdomen dan menguatkan otot abdomen, merangsang kedua-dua belah otak dan meningkatkan keupayaan untuk belajar. Ia melegakan ketegangan otot dan tekanan psikologi yang membuatkan otak lebih peka serta bersedia menerima maklumat baru.
Ketawa juga dikatakan mampu memperbaiki fungsi usus sekali gus meningkatkan pencernaan dan penyerapan nutrisi dalam badan. Ada juga yang percaya ketawa boleh membakar kalori seperti bersenam untuk beberapa minit.
Senyuman yang diakhiri dengan ketawa mengaktifkan tindak balas kimia badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok dan ulser.
Pusat Perubatan Universiti Maryland, Amerika Syarikat menjalankan kajian ke atas 300 responden mendapati 40 peratus orang yang menghidap penyakit jantung kurang ketawa berbanding orang yang sihat.
Kajian itu menyatakan individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam 10 minit. Hal ini terjadi kerana apabila seseorang ketawa, tekanan darah dan kadar degupan jantung meningkat. Kemudian kedua-dua kadar itu akan turun iaitu lebih rendah daripada paras sebelum anda ketawa. Sumber: Universiti Maryland

Sumber : Kosmo Online

1 comment:

  1. oleh itu marilah kita ketawa beramai2..tapi berpada2 la..nnti orang kata gila la pulak..

    ReplyDelete

Followers