Jan 22, 2010

Petua elak Ubat Tiruan

Bahaya ubat tiruan




Rampasan produk palsu guna bahan murah meningkat, boleh jejas kesihatan pengguna jika tak dikawal

FENOMENA ubat tiruan melanda di seluruh dunia dan ia bukanlah sesuatu yang mudah dikawal. Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan secara purata 10 peratus daripada keseluruhan ubat-ubatan yang digunakan di seluruh dunia adalah ubat tiruan.

WHO juga melaporkan di sesetengah negara, 50 peratus daripada bekalan ubatnya tiruan. Nilai industri ubat tiruan pula melebihi AS$32 bilion (RM109 bilion) pada 2003, dan ia mencecah sehingga AS$75 bilion (RM256 bilion) setahun iaitu peningkatan hampir 90 peratus pada 2005. 


Antara ubat tiruan yang popular termasuk antibiotik, ubat alahan, hormon dan steroid. Ubat-ubatan ini merangkumi 60 peratus daripada jumlah keseluruhan ubat tiruan yang dilaporkan berada dalam pasaran.

Di Malaysia, jumlah ubat-ubatan tiruan yang dirampas meningkat dari setahun ke setahun. Pada 2005, misalnya Biro Perkhidmatan Farmaseutikal merampas sebanyak 12,242 produk. Pada 2006, jumlah itu meningkat kepada 23,263 produk atau bernilai RM5.5 juta. Malah pada 2007, polis Johor merampas pil amphetamine tiruan berjumlah RM320,000.

Antara jenama ubat tiruan yang diisytiharkan tidak selamat digunakan oleh Biro Perkhidmatan Farmaseutikal, Kementerian Kesihatan Malaysia ialah Tongkat Ali Super Power, Maajun Kuat, Kapsul Tongkat Ali Asli, Pil Power Sendi dan Pil Resdung.

Pengarah Wilayah Keselamatan Global Pfizer, Asia Pasifik, Dave Campbell, berkata di Malaysia isu penggunaan ubat tiruan adalah antara cabaran sektor kesihatan awam hari ini. Walaupun ia tidak seburuk di negara lain di dunia, senarionya masih wujud dan mengancam nyawa pengguna jika pengguna tiada kesedaran mengenainya.

“Selaras dengan komitmen kami untuk membangunkan masyarakat dunia yang sihat, kami ingin memastikan pengguna tahu mengenai keaslian ubat dan bebas daripada komplikasi penggunaan ubat-ubatan tiruan,” katanya.

WHO mendefinisikan ubat-ubatan tiruan bukan terhad kepada penghasilan ubat palsu tetapi juga penghasilan ubat yang tidak menepati kandungan pada label ubat atau penggunaan label ubat palsu yang dikaitkan dengan produk asal.

Ubat tiruan ini pula bukan hanya dihasilkan di negara membangun tetapi juga di negara maju.

Malah gergasi farmaseutikal seperti Pfizer pernah menemui pil Viagra tiruan di Britain beberapa tahun selepas pil asli dilancarkan.

“Pesakit mudah membeli ubat-ubatan yang mendakwa boleh menyembuhkan semua jenis penyakit. Apatah lagi jika hanya memakan ubat tanpa berjumpa doktor. Mereka mungkin tidak tahu kesan sampingan daripada penggunaan ubat sedemikian. Malah, tidak mustahil ubat-ubatan yang dibeli tanpa rujukan doktor, hanya akan memburukkan lagi keadaan kesihatan pesakit,” katanya.

Sebenarnya, ada banyak sebab mengapa ubat tiruan lebih diminati. Antaranya, ubat-ubatan asli harganya jauh lebih mahal.

WHO melaporkan, di sesetengah negara, cukai yang dikenakan ke atas kemasukan ubat-ubatan farmaseutikal antarabangsa sangat tinggi. Ia mempengaruhi harga ubat-ubatan berkenaan apabila sampai ke pasaran. Keadaan itu menyebabkan pengguna tiada pilihan melainkan menggunakan ubat-ubatan tiruan yang jauh lebih murah.

Keadaan ini ditambah dengan tiadanya penguatkuasaan undang-undang dalam menangani kemelut ini.

Ubat-ubatan tiruan juga tidak mementingkan bahan yang digunakan dalam pembuatan ubat asli. Penghasilannya menggunakan bahan yang murah kosnya, ditambah dengan pembuatannya yang tidak memerlukan makmal canggih dengan mekanisme keselamatan. Ubat-ubatan tiruan mungkin dihasilkan di belakang rumah atau di bawah pokok. Justeru, tidak hairanlah harganya lebih murah.

Namun, penggunaan ubat-ubatan tiruan mengancam kesihatan menyebabkan kematian. Sebagai contoh, di China, laporan Beijing Post menyebut hampir 200,000 orang meninggal dunia saban tahun disebabkan penggunaan ubat-ubatan tiruan dan ubat lapuk.

INFO: Antara komplikasi ubat tiruan



  • Kegagalan buah pinggang

  • Kegagalan jantung

  • Sindrom steroid (sistem imuniti badan dan tekanan darah juga mungkin jatuh ketika menjalani pembedahan)

  • Pendarahan (ketika pembedahan). 


  • Sumber : Berita Harian .com.my


    Jadi elakkan pengambilan ubat-ubatan tiruan.

     

     

    No comments:

    Post a Comment

    Followers