Aug 26, 2010

Perut berasid punca gastrik

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

norlaila@hmetro.com.my





HARAPNYA Ramadan kali ini, yang akan menjelang beberapa hari lagi, tiada yang akan memberikan alasan gastrik untuk meninggalkan puasa.

Alasan ini terlalu lapuk dan tidak boleh diterima lagi kerana kebanyakan ubat gastrik di pasaran mampu membantu anda bertahan sepanjang hari.

Gastrik adalah masalah yang sangat lazim dalam masyarakat kita. Ia bukan penyakit, tetapi gangguan dalam perut, terutama apabila bahagian perut atas (berhampiran ulu hati) berasa sakit dan tidak selesa.

Perut kita merangkumi kantung kosong yang berotot terletak di bahagian atas di kiri abdomen, betul-betul di bawah rusuk.

Panjang perut orang dewasa lebih kurang 25 sentimeter (10 inci) dan boleh mengembang untuk menampung satu gelen makanan dan minuman.

Ketika perut kosong, tisu perut tersusun rapat dan berlipat sesama sendiri seperti kipas. Apabila ada makanan, lipatan ini terbuka dan mengembang.

Dalam perut inilah makanan diproses dan disimpan sebelum ia dibuang melalui usus.

Daripada mulut, makanan perlu melalui esofagus (saliran makanan yang panjang dan berotot) sebelum sampai ke perut.

Dinding perut pula ada beberapa lapisan otot yang ‘menggodak’ makanan sehingga hancur.

Pada masa sama, kelenjar pada dinding perut merembeskan jus gastrik (termasuk enzim dan asid perut) bagi membantu mencernakan makanan.

Satu asid, iaitu asid hidroklorik, bersifat kakis dan boleh melarutkan besi.

Bagaimanapun, kehadiran mukus atau cecair bikarbonat dapat menseimbangkan paras keasidan dalam perut dan melindungi tisu perut.

Perunding Pembedahan Gastroenterologi, Dr Abd Hamid Mat Sain, berkata radang perut atau gastritis berlaku apabila keseimbangan ini terganggu.

Keradangan ini biasanya berpunca daripada tindakan bakteria Helicobacter pylori yang hidup dalam perut.

Bagaimana bakteria ini berjangkit (biasanya pada kanak-kanak dan berlanjutan sepanjang hayat jika tidak dirawat) dan menyebabkan keradangan pada sesetengah orang belum diketahui dengan jelas.

Namun jika keradangan ini dibiarkan tanpa rawatan, lama kelamaan ia boleh menyebabkan ulser.

Sesetengah ubat jika diambil dalam jangka masa panjang juga boleh menyebabkan radang perut, khususnya ubat tahan sakit atau anti peradangan bukan steroid (NSAIDs) seperti aspirin, ibuprofen dan naprofen.

Bagaimanapun, kesan ubat ini berbeza antara individu kerana bagi individu sensitif, satu pil boleh menyebabkan sakit perut.

Malah, keseimbangan ini juga terjejas dengan pengambilan alkohol berlebihan atau mengambil dadah (kokain) yang mengganggu proses penghasilan mukus bikarbonat, menyebabkan dinding perut terdedah pada tindakan asid hidroklorik.

“Sebenarnya, banyak faktor boleh menyebabkan sakit perut. Ia tidak semestinya berpunca daripada gangguan dalam perut, tetapi mungkin disebabkan pengaruh daripada gangguan pada organ lain seperti hati, pundi hempedu, pankreas atau saliran makanan yang menjadi ‘jiran’ kepada perut.

“Jenis makanan juga boleh menjadi penentu kepada masalah dihadapi seseorang.

“Contohnya, jika sakit perut setiap kali makan makanan berlemak atau berminyak, ia menandakan ada masalah dengan pundi hempedu. Biasanya, ia disebabkan kehadiran batu hempedu yang menghalang pengeluaran cecair hempedu untuk mencernakan lemak.

“Apabila laluan ini terhalang, tekanan dalam pundi hempedu meningkat dan menyebabkan sakit perut,” katanya.

Biasanya, melalui soal jawab dengan pesakit, doktor boleh tahu punca masalah mereka. Katanya, untuk pengesahan, doktor melakukan pemeriksaan imbasan bunyi atau endoskopi bagi meneropong keadaan dalam perut pesakit.

Sakit pada ulu hati pula boleh disebabkan dua perkara, iaitu sama ada masalah refluks asid (aliran songsang asid perut ke esofagus, GERD) atau jangkitan Hepatitis (radang hati).

Untuk membezakannya, sakit akibat GERD berlaku secara berepisod manakala jika disebabkan Hepatitis, pesakit mengalami kesakitan sepanjang masa, walaupun makan ikut waktu.

Pesakit juga boleh melihat sendiri perubahan pada badan mereka. Jika mendapat jangkitan Hepatitis, mata putih berubah menjadi kekuningan.

Namun, ia bukan petanda mutlak kerana saluran hempedu yang tersekat akibat kehadiran batu hempedu juga menunjukkan simptom sama.

Justeru, kata Dr Abd Hamid, pesakit mesti segera menjalani pemeriksaan bagi memastikan ia bukan disebabkan jangkitan Hepatitis.

Secara umum, gejala gastrik adalah:


Sakit pada bahagian atas abdomen. Ia boleh reda atau semakin sakit apabila makan.


Perut menjadi sensitif terhadap makanan berasid (masam), pedas dan minuman beralkohol.


Mual.


Muntah.


Hilang selera.


Perut bahagian atas terasa ‘penuh’ dan senak selepas makan sedikit.


Hilang berat badan.


Pedih ulu hati.

“Serangan gastrik mudah dikawal dengan pengambilan ubat antasid (untuk mengurangkan keasidan dalam perut) atau makan pada waktu tetap. Gastrik juga boleh jadi masalah sepanjang hayat jika pesakit tidak menjaga pemakanan kerana ketika ini perut sensitif.

“Jika sensitif atau tidak sesuai dengan satu-satu jenis ubat, segera tukar kepada ubat lain. Ada banyak jenis ubat gastrik di pasaran, pasti ada yang sesuai dengan kita.

“Paling penting, jangan makan ubat ketika perut kosong melainkan jika diarah begitu dan patuhi jadual pengambilan ubat kerana makan ubat ketika perut kosong atau dos berlebihan boleh memberi kesan pada dinding perut,” katanya.

Gastrik tidak bermakna tidak boleh berpuasa. Malah, berpuasa (atau mengosongkan perut) adalah baik untuk kesihatan secara keseluruhan.

Memang orang yang ada gastrik tidak ‘tahan’ dengan keadaan perut kosong, tetapi kata Dr Abd Hamid, mengosongkan perut selama 14 jam bukan tempoh lama.

Orang yang ada gastrik dinasihatkan mengambil ubat setiap hari, sama ada selepas berbuka atau ketika bersahur.

Fahami juga ‘kuasa’ atau tindakan ubat. Jika ia perlu makan sehari sekali, bermakna ubat itu boleh memberi ‘perlindungan’ atau mengurangkan keasidan dalam perut selama 24 jam.

Maknanya, dengan pengambilan ubat, pesakit boleh menjalankan ibadat puasa seperti orang lain tanpa masalah.

Bagaimanapun jika terlupa mengambil ubat, ibadat puasa masih boleh diteruskan dan ia tidak mendatangkan kemudaratan.

“Pesakit tidak sepatutnya menderita kerana gastrik. Ia adalah gangguan yang mudah diatasi, dengan syarat pesakit didiagnos dengan betul dan mendapat rawatan sepatutnya.

“Keradangan perut yang dibiarkan tanpa rawatan boleh berubah kepada ulser.

“Jika masih tidak diberikan rawatan ia mungkin menjadi kanser, tetapi kes ini jarang berlaku.

“Bagaimanapun, jika ubat diberikan doktor masih tidak berjaya mengatasi masalah gastrik, pesakit boleh meminta untuk dirujukkan kepada pakar supaya masalah sebenar dapat diketahui dan dirawat segera,” katanya.

Elak makanan pedas, masam

BEBERAPA langkah boleh diambil untuk mengelak dan mengawal gejala gastrik, iaitu:

Makan secara bijak. Jika anda kerap sakit perut selepas makan, buat perubahan pada jadual makan anda. Makan lebih kerap, tetapi dalam kuantiti sedikit. Ia boleh menampan penghasilan asid perut.


Elakkan makan makanan yang mendatangkan kerengsaan pada perut seperti makanan pedas, masam, berempah, berminyak, bergoreng dan berlemak.


Kurangkan minum minuman beralkohol. Ia boleh mengganggu penghasilan mukus beralkali dalam perut dan menyebabkan dinding perut radang atau berdarah.


Berhenti merokok. Asap rokok juga memberi kesan kepada lapisan pelindung dalam perut. Merokok sebenarnya menggalakkan penghasilan asid perut, melambatkan proses penyembuhan luka dan meningkatkan risiko ulser bertukar menjadi kanser.


Tukar ubat jika ubat gastrik yang diambil sekarang tidak berkesan.


Patuhi jadual pengambilan ubat dan pastikan ubat diambil selepas makan.


Kekalkan berat badan seimbang. Masalah ketidakhadaman makanan boleh berlaku kepada sesiapa saja tanpa mengira berat badan, tetapi sakit perut akibat refluks asid lebih kerap melanda orang gemuk.

Mengekalkan berat badan seimbang membantu mengawal dan mengelakkan simptom gastrik.


Banyakkan bersenam. Sebarang jenis senaman aerobik (30 minit sehari) sebenarnya membantu meningkatkan kadar pernafasan dan degupan jantung yang secara tidak langsung merangsang aktiviti otot usus. Ia memudahkan aliran makanan ke dalam usus.


Belajar mengendalikan tekanan. Tekanan meningkatkan penghasilan asid perut dan memperlahankan proses pencernaan makanan. Ini menyebabkan seseorang lebih berisiko mengalami masalah sakit perut dan mendapat gejala gastrik. Tekanan juga meningkatkan risiko serangan jantung dan strok, melemahkan sistem pertahanan badan dan mencetuskan pelbagai masalah kulit

4 comments:

  1. terima ksih atas info berguna

    ReplyDelete
  2. adakah ubat gastrik boleh menyebabkan cirit birit?
    dan adakah sakit ulu hati yg teruk menyebabkan air kencing kotor?

    ReplyDelete
  3. kenapa sakit gastrik lepas minum air alkali?

    ReplyDelete
  4. Salam...saya ckg lan..disini saya ingin share info bermanfaat ttg penawar gastrik yg telah menyembuhkan penyakit gastrik saya 2 thn lps...saya telah diperkenalkan olh seorg doktor homopati ttg satu produk kluaran forever living iaitu berasaskan aloevera satu2nya produk mencuci usus kita scr lembut dan berkesan...serta meyahtoksin dlm badan yg mnjadi punca penyakit...kenapa usus kita perlu dicuci?? Krn nabi pernah bersabda bahawa setiap penyakit berpunca drp perut...bila usus bersih mka penyakit lain dpt diatasi...bersyukur sgt dah berjumpa dgn penawar yg sgt berkesan..sesiapa yg berminat ttg info produk blh whatapp kpd saya ditalian 0148111556, inshaalah saya akn cuba bantu

    ReplyDelete

Followers